ASET vs LIABILITI – Anda Buat Yg Mana Selama Ini?

by Yunus on June 8, 2012

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua,

Terima kasih kepada semua pelawat yang masih setia membaca artikel-artikel yang dikeluarkan di dalam blog ini. Kali ini saya akan mengupas berkenaan dengan satu isu dalam bidang kewangan iaitu Aset VS Liabiliti. Mungkin ramai antara kita yang masih kurang arif dalam mengurus kewangan mereka. Lebih mendukacitakan apabila ada antara mereka yang menanggung hutang sehingga ratusan ribu ringgit.

Apa yang terlintas di fikiran kita tentang aset ialah harta seperti kereta dan rumah. Ya, memang betul kereta dan rumah merupakan aset penting kepada kita dan tidak salah saya kata bahawa setiap orang akan meletakkan dua harta tersebut sebagai impian pertama untuk dipenuhi. Jawapan sebegini juga diberikan sekiranya anda bertanya kepada akauntan atau pagawai bank. Bank sememangnya mengalu-alukan kehendak pelanggan mereka untuk membuat pinjaman perumahan mahupun kereta.

Ringkasnya, dalam erti kata yang lebih mudah difahami, aset adalah harta atau benda yang dapat menyalurkan pendapatan atau wang kepada anda. Manakala, liabiliti pula adalah harta atau benda yang menyebabkan wang anda keluar daripada poket anda.

Walau bagaimanapun, kereta dan rumah boleh menjadi aset kepada anda sekiranya kereta dijadikan teksi atau kereta sewa dan rumah yang anda beli disewakan kepada orang ramai. Pembentukan aset sebegini akan menyalurkan sumber pendapatan semula kepada anda. Jika tidak, kereta dan rumah sebenarnya adalah liabiliti kepada kita kerana kita perlu membayar ansuran bulanan kereta dan rumah setiap bulan. Ini tidak termasuk duit minyak dan kos membaikpulih kereta lagi. Namun begitu, saya akui, kereta dan rumah merupakan keperluan utama bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Antara perkara yang boleh dikategorikan sebagai aset ialah seperti pelaburan di mana anda mendapat dividen mengikut peratusan tertentu setiap bulan atau setiap tahun. Pelaburan ini merangkumi pelbagai bidang. Contohnya seperti pelaburan dalam bidang emas, hartanah, ternakan, perladangan, pertanian, pengangkutan, pembinaan, media dan sebarang bentuk yang menyalurkan sumber pendapatan kepada anda setiap hari, bulan atau tahun.

Manakala liabiliti pula ialah seperti kad kredit, kereta dan rumah persendirian, pinjaman peribadi dan apa sahaja yang menyebabkan wang anda keluar setiap hari, bulan atau tahun. Adakah anda perasan, kebanyakan keperluan harian kita adalah liabiliti kepada kita.

Jadi, bagaimanakah cara penyelesaiannya? Adakah dengan membuat pinjaman akan menyelesaikan segala hutang kita? Pinjaman hanya akan membesarkan lagi medium liabiliti anda? Atau bagaimana? Apakah platform pelaburan terbaik untuk anda cover semula semua hutang anda? Kalau tidak membuat pinjaman, bagaimana mahu berniaga atau melabur? Dari manakah kita nak dapatkan modal untuk memulakan perniagaan? Semua ini akan saya kupaskan dalam entry yang akan datang. :-)

Sekiranya anda mendapat manfaat dari pos ini, sila tinggalkan komen atau langgan RSS feed untuk mendapatkan pos terkini melalui feed.

Leave a Comment

Previous post:

Next post: